
21st November, 2007
HERBERT BIDAS KEADILAN
KOTA KINABALU: Seorang anggota Dewan Undangan Ne-geri (Adun) penyokong kerajaan kelmarin menyifatkan pemim-pin Parti Keadilan di negeri ini sebagai sudah hilang akal.
Adun Kedamaian, Harbert Timbun Lagadan berkata, pemim-pin parti Keadilan kini sibuk menjalankan ceramah di kawasan Kedamaian bagi menimbulkan kemarahan dan rasa benci dengan pemimpin dari Semenanjung, khususnya pemimpin Umno.
“Mereka meminta penyokong dan rakyat Sabah agar hapuskan Umno dari bumi Sabah kerana kononnya parti Umno adalah parti penjajah dari Semenanjung,” katanya ketika dalam ucapan perbahasan Bajet Negeri 2007 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kelmarin.
Harbert berkata, bagi majoriti rakyat di Kedamaian, mereka tertanya-tanya kenapa pemimpin parti Keadilan mengecam parti Umno kerana ia berasal dari Semenanjung sedangkan parti Keadilan yang mereka agung-agungkan juga dari Semenanjung.
“Saya ingin simpulkan, memang pemimpin parti Keadilan di Sabah sudah hilang akal, mereka tidak lagi tahu dan sedar apa yang mereka cakap…mereka sudah hilang ingatan bahawa parti yang mereka sedang “sikut” adalah juga parti dari Semenanjung,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyoal apakah pemimpin yang sudah hilang akal dapat mentadbir negeri ini dengan baik.
Oleh kerana katanya, pemimpin Keadilan sudah hilang akal, maka mereka secara membabi buta membuat pelbagai tuduhan untuk memperkecil-kecil dan menghina kepimpinan kerajaan negeri pada hari ini.
Beliau juga berkata, pemimpin Keadilan Sabah, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan telah membuat laporan polis ke atas pelbagai isu terhadap pemimpin BN Sabah.
“Apakah beliau (Dr. Jeffrey) layak membuat tuduhan terhadap pemimpin BN sedangkan pada satu ketika dahulu Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri pernah menuduh Dr Jeffery yang kononnya telah bertanggungjawab melesapkan wang Yayasan Sabah sebanyak RM4 bilion,” soalnya.
Beliau yang juga Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata, seandainya Dr. Jeffrey bertanggungjawab melesapkan wang Yayasan Sabah RM4 bilion sebagaimana dalam tuduhan Anwar, maka beliau (Jeffery )telah tidak melayakkan dirinya sebagai pemimpin.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada ada Ketua Menteri Datuk Seri Musa Haji Aman kerana merupakan pemimpin pertama kerajaan negeri yang mengumumkan semakan kenaikan gaji pegawai dan anggota perkhidmatan awam selaras dengan kadar kenaikan yang diumumkan oleh Perdana Menteri.
“Saya yakin dengan adanya kenaikan gaji ini ia akan mendorong anggota perkhidmatan awam untuk meningkatkan prestasi perkhidmatan mereka,” katanya.
Walau bagaimanapun katanya, beliau merasa kecewa dengan sikap segelintir pegawai dan kakitangan awam yang berasal dari kawasan Kedamaian kerana melibatkan diri secara terang-terangan menentang kerajaan BN sekarang.
“Orang-orang tertentu menjalankan tugas di pejabat pada siang hari tapi di waktu malam berceramah menghina pemimpin BN, memburuk-burukkan kerajaan BN, menghasut rakyat membenci Umno oleh kerana Umno ialah parti dari Semenanjung dan akhirnya menawarkan diri sebagai calon parti Keadilan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kewibawaan dan kebijaksanaan pemimpin pusat dan negeri sangat dialu-alukan dalam penggubalan dasar pembangunan negara dan perpaduan rakyat Malaysia.
‘Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terhadap langkah yang diambil oleh kerajaan persekutuan kerana memberi kepercayaan kepada penduduk tempatan untuk memegang jawatan utama dalam jabatan persekutuan di negeri ini seperti Jabatan Pelajaran Sabah,” katanya.
Selain daripada itu pihak Kementerian Pelajaran Malaysia juga telah melantik seorang pemimpin politik dari Sabah sebagai Setiausaha Politik Menteri Pelajaran.
Sehubungan itu, beliau turut merayu agar lebih banyak Kementerian Kerajaan Persekutuan yang akan mengambil langkah untuk melantik Setiausaha-Setiausaha Politiknya daripada kalangan rakyat Sabah bagi mempertingkat dan memperkukuhkan lagi hubungan perpaduan dan integrasi pemimpin politik negara.
“Saya juga fikir, adalah tidak keterlaluan untuk mencadangkan agar Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri melantik salah seorang daripada Setiausaha politik mereka daripada Sabah.
Mengenai Bajet Negeri 2008, Harbert berkata, ianya sangat menggembirakan rakyat negeri ini, bahkan pemimpin parti pembangkang di peringkat bawahan turut dikejutkan dengan kemampuan kerajaan untuk menyediakan Bajet yang besar dan mesra rakyat.
“Bagi tahun 2008 jumlah wang yang disediakan oleh kerajaan BN Negeri melebihi RM2 bilion sementara itu kerajaan persekutuan melebihi RM4 bilion yang kesemuanya lebih RM6 bilion yang akan dibelanjakan untuk membangunkan negeri ini pada tahun depan,” katanya.
Beliau berkata, dengan jumlah kewangan yang begitu banyak, rakyat lebih yakin dengan kemampuan kerajaan BN membela nasib mereka.
No comments:
Post a Comment