Friday, October 31, 2008

Kontrak Sosial II

Fahami Kontrak Sosial, Elak Ketegangan Kaum

RENCANA/Berita Harian Rabu 29 Oktober 2008
Md.Ayop Abd.Razi

IDEA mengenai ‘Kontrak Sosial’ mula berkembang di Eropah pada abad ke-17 dan 18. Istilah ini digunakan untuk menjelaskan wujudnya persetujuan secara sukarela di kalangan rakyat sesebuah negara berkaitan hak dan tanggung jawab mereka. Tokoh seperti Jaque Rousseau, John Locke dan Thomas Hobbes dianggap sebagai pencetus idea kontrak sosial yang dikaitkan dengan demokrasi.

Dalam bukunya, Du Contract Social (1762), Rosseau menyatakan ‘manusia dilahirkan bebas tetapi di mana-mana saja, mereka dibelengggu pelbagai peraturan sosial’. Rousseau lebih menekan kepada ‘hasrat umum’, iaitu penyatuan keseluruhan hasrat individu yang wujud dalam sesuatu masyarakat. Beliau membezakan antara hasrat umum dan hasat semua orang.

Hasrat umum meneliti kepentingan dan faedah bersama, sedangkan hasrat semua l lebih bertumpu kepada kehendak dan faedah peribadi. (The Social Contract, terjemahan M Craston, 1968). Baginya institusi seperi Raja, perwakilan rakyat dan birokrasi tidak dapat mengatasi hasrat umum.

Piagam Madinah (Sahifah Madinah) yang diasaskan Nabi Muhammad SAW ketika pembentukan negara Islam Madinah adalah dianggap sebagai kontrak sosial dan perlembagaaan bertulis yang pertama di dunia. Dalam tamadun Melayu, kontrak sosial dikesan dalam Sejarah Melayu (Salalatus Salatin) tulisan Tun Seri Lanang (1612) ada menyebut perjanjian antara Sang Sapurba (Raja) dan Demang Lebar Daun (rakyat)

Dalam masyarakat moden hari ini ‘semangat’ kontrak sosial dimaktubkan di dalam kebanyakan perlembagaan di dunia. Pernah berlaku dalam sejarah Amerika Syarikat (AS) isu mengenai kedudukan orang kulit hitam di dalam Perlembagaannya.

Ketika perlembagaannya dirunding, orang kulit hitam dianggap sebagai harta yang menjadi milik orang kulit putih. Justeru, dalam kes perhambaan di Amerika Syarikat (kes Dred Scott, 1857) Mahkamah Agung Amrika Syarikat tidak mengiktirafkan orang kulit hitam sebagai pihak yang berkontrak ketika perlembagaan itu dirunding. Kepeutusan itu mencetuskan perang saudara yang akhirnya membawa kepada pindaan perlembagaan Amerika Syarikat (Abdul Aziz Bari, 2008)

Ketika negara mencapai kemerdekaan, sebuah suruhanjaya bebas dibentuk oleh British pada 8 Mac 1956 bertujuan mengkaji bentuk perlembagaan untuk Tanah Melayu yang merdeka. Ia dipengurusi oleh Lord Reid dan dianggotai Ivor Jennings, Sir William Mckell, B Malik dan Hakim Abdul Hamid. Suruhanjaya ini bertanggungjawab menggubal Perlembagaan untuk Tanah Melayu berdasarkan demokrasi berparlimen.


Umno yang sudah pun wujud pada ketika itu mengambil berat mengenai proses pembentukan perlembagaan. MCA dan MIC juga tidak berkecuali. Pada 19 April 1956, Tun Abdul Razak Hussein dilantik oleh Majlis Kerja Tertinggi Umno mempengerusikan Jawatankuasa Siasah. Jawatankuasa ini mengumpul semua memorandum daripada Jawatankuasa Umno Perhubungan Negeri. Di antara isu panas yang diberi perhatian ialah kerakyatan berasaskan ‘jus soli’ dan kedudukan bahasa rasmi.

Tun Razak turut mempengerusikan Majlis Kebangsaan Perikatan, bertujuan menimbang memorandum daripada Umno, MCA dan MIC. Di antara perkara yang diputus dan dipersetujui majlis berkenaan ialah mengiktiraf orang Melayu sebagai Bumiputera dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi negara.

Mengenai soal kerakyatan, jawatankuasa berkenaan menolak prinsip ‘jus soli’ seperti dicadangkan MCA dan MIC. Mereka bersetuju dengan cadangan bahawa mereka yang dilahirkan di Tanah Melayu dan kemudian daripada pengisytiharan kemerdekaan menjadi warga negara Tanah Melayu dengan syarat tertentu.

Apa yang diterima bersama oleh pemimpin pelbagai kaum mengenai kontrak sosial itu ialah menghapuskan semangat perkauman yang ekstrem ketika perlembagaan awal ingin dibentuk, iaitu Perlembagaan Malayan Union 1946 dan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1947. Ketika itu isu perkauman melatari usaha untuk mewujudka usaha terbabit.

Perkara ini dapat difahami dalam memorandum dan surat yang dihantar kepada Jawatankuasa Cheeseman yang bertujuan meneliti Perlembagaan untuk Persekutuan Tanah Melayu 1948.

Jelaslah bahawa. perkara mengenai kontrak sosial menjadi keutamaan dalam penggubalan Perlembagaan Persekutuan 1957. Perkara seperti kedudukan Raja-Raja Melayu, agama Islam, dan hak istimewa bumiputera adalah terma yang disebut dan dipersetujui bersama. Perkara ini disentuh dalam memorandum Parti Perikatan kepada Suruhanjaya Reid.

Dokumen Political Testament of the Alliance akhirnya menjadi sebahagian pertimbangan Perlembagaan Persekutuan 1957. Bagaimanapun , apa yang dianggap kontral sosial di dalam Perlembagaan negara adalah quid pro quo (beri memberi) yang masih berasaskan kepada kepentingan kaum yang dipersetujui bersama.

Elemen kepentingan kaum ini diakui oleh Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj ketika berucap membentangkan cadangan Perlembagaan pada Majlis Perundangan Kebangsaan 10 Julai 1957. Perkara ini jelas dalam pemberian kerakyatan kepada kepada orang bukan Melayu, sementara perkara 153 adalah berkaitan hak istimewa Melayu, termasuk Bumiputra Sabah dan Sarawak.

Menurut Profesor Khoo Kay Kim, perkara 153 perlu difahami sebagai kontrak sosial yang mendukung konsep dominasi Melayu atau ‘ketuanan Melayu’ yang dipersetujui bersama dikalangan pemimpin pelbagai kaum.

Begitu pun, seperti juga kebanyakan kontrak atau perjanjian yang wujud, ia boleh dipindah mengikut keadaan dan kesesuaian. Oleh itu, jika benar sosial kontrak yang ada dalam Perlembagaan, khususnya yang berkaitan dengan orang Melayu dianggap tidak relevan, maka adalah baik ia dikaji dan diteliti semula.

Namun, segala perubahan itu mestilah dipersetujui bersama dan tidak melenyapkan sejarah, tradisi dan warisan Melayu yang menjadi sebahagian ciri Perlembagaan negara. Selain itu, cadangan beberapa pihak supaya sejarah kontrak sosial diajarkan ke sekolah dan institusi tinggi perlu diberi perhatian sewajarnya.



Penulis ialah Ketua Unit Komunikasi Media di Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan.

Thursday, October 9, 2008

Kontrak Sosial

Kano pogi ilangai tokou, sorou nod haro kokori-kokori dot mindalan

Sejak kebelakangan ini, banyak sekali telah diperkatakan mengenai kontrak sosial.

Kita percaya bahawa istilah tersebut adalah agak asing bagi kebanyakan orang.

Kita senang sekali berkongsi maklumat soal perkara itu dalam kadar “Setakat kita tahu dan faham” dengan anda semua.

Kepada yang sama sekali tidak tahu, maka diharap maklumat yang dipaparkan dapat membantu sedikit-sebanyak dalam mengetahui apa Kontrak Sosial itu.

Kepada yang sudah tahu serba sedikit, maka kita dilingkungan yang sama. Mari kita sama-sama hayati apa itu Kontrak Sosial, dan tolong ingatkan jika ada keciciran dimana-mana.

Kepada yang sudah terlebih tahu soal ini, maka adalah tanggungjawab moral anda untuk mengurangkan seandai ada yang terlebih, tambah mana yang kurang, jelaskan mana yang kabur, tegakkan yang condong, dan macam-macam lagi yang seumpamanya.

Kita telah mengaut maklumat-maklumat yang berikutnya daripada sumber-sumber bertauliah yang terdapat di internet dan pendapat-pendapat daripada individu-individu seperti Socrates, Tun Dr.Mahathir dan Profesor Di-Raja Dr. Ungku Abd.Aziz.

Sebelum kita melangkah lebih jauh mengenai Kontrak Sosial ini, mungkin ada baiknya jika kita mengetahui asal-usul dan bagaimana kewujudannya berlaku dalam sistem kehidupan masyarakat.

Sebelum adanya Kontrak Sosial, manusia dikatakan hidup dalam keadaan semulajadi. Tidak ada undang-undang atau peraturan khusus yang wujud bagi mengawal tatahidup dan hubungan di antara individu dalam masyarakat primitif.

Masyarakat hidup berpandukan “Hukum Rimba” - siapa kuat dia berkuasa.

Sosial Kontrak sememangnya adalah konsep Eropah dan mula-mula sekali dilafaz dan diguna-pakai oleh para ahli-ahli falsafah.

Salah seorang yang terkenal ialah Socrates, ahli falsafah Greek yang telah dipenjara dan dihukum bunuh.

Socrates berkeras untuk tidak melarikan diri atau berhijrah ke kota lain di Greek untuk menyelamatkan dirinya kerana beliau percaya bahawa dia terikat dengan Kontrak Sosial yang menempatkan dirinya pada kedudukan untuk patuh dan hidup berdasarkan peraturan yang wujud dalam negeri kelahiran dan tempat beliau membesar, Athen.

Penjara dan hukuman mati adalah sebahagian daripada peraturan negerinya dan Socrate percaya ianya wajib dipatuhi berdasarkan kontrak sosial.

Pada kala ukuran masyarakat manusia membesar, timbul keperluan untuk mewujudkan peraturan atau undang-undang untuk mengawal perilaku setiap insan atau ahli masyarakat dalam kehidupan seharian mereka.

Semua ahli masyarakat atau warga pada satu-satu tempat akan tertakluk kepada peraturan atau undang-undang yang wujud pada tempat-tempat tersebut.

Walaupun tidak ada pengistiharan secara lisan atau bertulis yang dibuat oleh ahli masyarakat untuk patuh kepada segala undang-undang, namun pengertian, kefahaman, atau pengetahuan bahawa adalah wajib untuk patuh kepada undang-undang setempat itu lah sebenarnya Kontrak Sosial.

Itu adalah pandangan Socrates yang semenjak itu telah dikembangkan oleh ramai lagi para ahli falsafah yang lain.

Ada diperkatakan bahawa orang-orang Greek mengamalkan satu bentuk demokrasi dalam kerajaan mereka. Walaubagaimanapun penyertaan dalam kerajaan terhad kepada warganegara-warganegara dewasa yang berfikiran waras. Wanita, kanak-kanak, hamba, tahanan, penjenayah, dan orang asing tidak diberi hak warganegara dan oleh itu, tidak boleh memainkan peranan dalam kerajaan.

Sebahagian besar tamadun Eropah adalah berdasarkan tamadun Greek. Namun penyertaan rakyat dalam kerajaan secara langsung menjadi sukar atau mustahil apabila ukuran masyarakat membesar.

Pada satu ketika, sistem feudal pernah digunakan untuk menggantikan sistem demokrasi yang telah ditinggalkan. Di bawah sistem feudal, raja memerintah dengan kuasa mutlak, dan sebenarnya, ini adalah bentuk kerajaan yang senentiasa diamalkan di Asia.

Walaubagaimanapun, ketertaklukan rakyat kepada raja juga merupakan satu bentuk Kontrak Sosial.

Tidak lama kemudian, feudalisme digantikan oleh republikanisme. (Republic- Return to the public of the Power of Government / Kembalikan kuasa kerajaan kepada publik)

Semenjak daripada itu, berbagai-bagai bentuk republik telah menjelma, dan masing-masing mempunyai peraturan dan undang-undangnya yang tersendiri. Namun apapun jua bentuk undang-undang yang dibawa, warganegara adalah terikat dan tertakluk untuk mematuhinya.

Dari segi kewarganegaraan, tidak ada kontrak bertulis mengenai Kontrak Sosial.

Walaubagaimanapun, bagi orang asing, untuk menerima kewarganegaraan itu, biasanya, mereka perlu membuat lafaz sumpah secara rasmi untuk menyatakan taat setia dan kepatuhan mereka terhadap setiap undang-undang dan sistem pemerintahan negara itu.

Setelah menjadi warganegara, kanak-kanak mereka akan secara otomatik menjadi warganegara tanpa perlu membuat lafaz sumpah taat setia tadi. Hak kewarganegaraan ini diperolehi melalui jus sanguinis (pertalian darah).

Terdapat juga kewarganegaraan yang diperolehi melalui kelahiran atau jus soli. Ini boleh berlaku melalui proses undang-undang yang ada pada satu-satu negara.

Sama ada jus sanguinis atau jus soli, Kontrak Sosial akan senentiasa berkuatkuasa walaupun tidak ada lafaz sumpah rasmi telah dilakukan.

Kesimpulan yang jelas di sini ialah Kontrak Sosial adalah kefahaman umum pada pihak warganegara untuk menghormati dan mematuhi undang-undang negara.

Kontrak Sosial ini bukan sahaja mengawal dan mentadbir hubungan dengan negara, kerajaan dan institusinya, tetapi juga dengan hubungan antara masyarakat sewarga.

Apa yang jelas ialah Kontrak Sosial tidak ditulis secara formal pada mana-mana perlembagaan. Itu adalah pengertian, pengetahuan, makluman, dan kefahaman kita terhadap kewajiban mematuhi segala peraturan, undang-undang, dan perlembagaan yang mentadbir kehidupan kita.

Dalam kontek mudah Kadamaian, adalah pengetahuan ramai bahawa terdapat beberapa peraturan yang harus dipatuhi semasa mandi-manda di Sungai Kadamaian. Antaranya ialah tidak boleh bercakap besar (Amu oboruak boros boh sio !!).

Namun tidak ada peraturan bertulis atau lafaz sumpah secara lisan yang kita buat untuk menunjukkan yang kita akan patuh kepada hukum sungai tersebut. Namun pada masa yang sama kita tahu bahawa adalah wajar atau wajib bagi kita untuk mematuhinya, dan ya, itulah dia dalam kadar lebih kurang, Kontrak Sosial itu.

Ok kita upgrade sikit sekarang. Kita ambil subjek bombon.

Bombon mempunyai peraturan bertulis dimana ianya harus dipatuhi. Peraturan bertulis itu kita boleh andaikan sebagai perlembagaan negara. Walaupun tidak satu persatu rakyat di satu-satu kawasan bombon mengangkat sumpah secara rasmi dan menandatangani satu dokumen rasmi yang menunjukkan mereka akan patuh kepada perlembagaan bombon tersebut, namun sebahagian besar daripada mereka akan mematuhinya. Sekali lagi, itulah dia Kontrak Sosial.


Kontrak Sosial di Malaysia

Seperti apa yang sudah diterangkan sebelum ini, Kontrak Sosial pada amnya, berfungsi pada kapasiti yang sama di Malaysia.

Namun di Malaysia, ianya sering digunakan dalam kaitan pemberian kewarganegaraan kepada orang-orang bukan melayu yang sebahagian besarnya terdiri daripada Orang Cina dan India.

Ini kerana setakat ini, satu-satunya perkara dalam perlembagaan yang sering dipersoalkan oleh generasi penerima kewarganegaraan itu ialah Ketuanan Melayu.

Apabila ketuanan Melayu ini dicabar atau dipersoalkan oleh pihak tadi, maka tidak ada alat yang lebih mujarab selain kontrak sosial untuk mempertahankannya.

Kontrak Sosial merangkumi aspek yang luas.

Namun memandangkan cuma persoalan yang melibatkan kaum dan ketuanan Melayu sahaja yang sering timbul setakat ini, di mana kontrak sosial sering digunakan untuk mempertahankanya, maka kebanyakan orang percaya atau beranggapan bahawa kontrak sosial ini cuma melibatkan perkara-perkara yang berhubungkait dengan perkara-perkara mengenai pemberian kewarganegaraan kepada orang bukan Melayu dan Ketuanan Melayu sahaja.

Sebenarnya semua pihak terikat dengan Kontrak Sosial. Pihak bumiputera juga terikat. Pendek kata, siapa saja warganegara di bumi Malaysia ini terikat dengan kontrak ini.

Kaum bukan bumiputera juga mempunyai hak-hak yang dilindungi melalui kontrak sosial ini.

Mereka berhak untuk mempunyai sekolah sendiri dan mentadbirnya dalam bahasa mereka walaupun bahasa Malaysia adalah bahasa rasmi negara.

Mereka berhak untuk meneruskan amalan kepercayaan agama mereka walaupun Islam adalah agama rasmi negara.

Itu adalah contoh-contoh hak kaum bukan melayu di negara ini dan kita diikat oleh kontrak sosial untuk tidak mempersoalkannya.

Demikian juga tentang ketuanan Melayu yang sudah dimaklumi sebelum mana-mana kaum lain diberikan kewarganegaraan, ianya tidak sepatutnya dipersoalkan.

Jelas sekali disini bahawa kontrak sosial ini adalah pengetahuan, kefahaman serta makluman kita bahawa segala peraturan, undang-undang serta perlembagaan negara haruslah dipatuhi.

Ketuanan Melayu dan keistimewaan bumiputra adalah antara perkara yang membentuk perlembagaan negara, jadi kontrak sosial tidak mengharuskan warga untuk mempertikai atau mempersoalkannya.

Satu lagi perkara yang menarik tentang Kontrak Sosial ini ialah tentang kewujudannya yang tidak bertulis. Oleh kerana itu, kewujudan dan definisinya bergantung kepada pengertian masing-masing.

Profesor Di-Raja Dr.Ungku Abdul Aziz berpendapat bahawa tidak wujud kontrak sosial secara fizikal antara rakyat Malaysia yang pelbagai kaum.

Sebaliknya, kata Ungku Aziz, sosial kontrak itu merupakan satu fantasi yang diwujudkan oleh ahli-ahli politik bergantung kepada kepentingan mereka.

Pendapat ini telah diutarakan oleh beliau pada sesi forum ulangtahun ke-25 Dasar Pandang Ke Timur di Shah Alam, pada 11hb May, 2008 sebagai salah seorang penelis.

Walaubagaimanapun, pada forum tersebut, salah seorang lagi panelis yang bernama Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad sememang tidak bersetuju dengan Dr.Ungku.

Berikut adalah kenyataan Dr.Mahathir pada sidang akhbar yang dibuat kemudiannya:

Jelasnya, "kontrak sosial memang tidak ditulis secara rasmi, tetapi kefahaman tentangnya memang wujud di kalangan pemimpim utama Perikatan - Tengku Abdul Rahman dan pemimpin Perikatan yang lain ketika itu".

"Kefahaman kontrak sosial itu, yang harus di kongsi bersama ialah bagaimana Tengku Abdul Rahman memberikan satu juta kerakyatan kepada bangsa Cina, dengan harapan mereka memberi sokongan dalam usaha untuk menuntut kemerdekaan", katanya.

Katanya, "kefahaman kontrak sosial itu juga memberi kesan terhadap perlembagaan apabila ia memberi hak kepada orang Melayu dan juga memberi hak kepada orang Cina dan India".

"Bukan sahaja Melayu akan menjadi bahasa rasmi yang diajar di sekolah-sekolah kebangsaan, tetapi bahasa Cina dan India juga diajar di sekolah-sekolah masing-masing.Dan itu hak-hak yang diberikan", jelasnya yang juga mantan presiden Umno.

"Dan orang Melayu tidak boleh mempersoal dan mencabar hak kewarganegaraan orang Cina dan India dan di situ kita dapat melihat keseimbangannya," tambahnya.

Beliau berkata, "begitu juga dengan agama. Islam yang telah menjadi agama rasmi negara dan semua orang bebas untuk mempraktikkan kefahaman agama mereka tanpa perasaan takut. Rakyat selalu bercakap tentang hak orang Melayu dalam parlimen, tetapi tidak melihat hak orang Cina (dan India) dalam perlembagaan," tambahnya.

Menurutnya, kontrak sosial ini meliputi perkongsian kuasa, kuasa dalam politik, perkongsian ekonomi dan pertumbuhannya.Dan daripada pertumbuhan itu, katanya, "ia diagihkan sebahagian besar kepada orang Melayu dan bumiputera. Kontrak sosial itu memang tidak ditulis tetapi ia termasuk semua aspek sosialisasi dalam negara ini".

Itulah kiranya serba sedikit mengenai Kontrak Sosial. Harus diingat bahawa ianya berbeza mengikut negara walaupun asas dan fungsinya kekal. Mungkin ianya terikat dengan perkara-perkara tambahan yang lain atau seumpamanya.

KadamaianBaru berharap agar maklumat yang disajikan sedikit-sebanyak dapat membantu asas pengetahuan kita mengenai Kontrak Sosial.

Kita akan senentiasa update kan maklumat mengenai Kontrak Sosial di sini.

Knowledge is Power
Nunu haro om pogilangan tokou kio…
Garot & Co of KadamaianBaru

Wednesday, October 1, 2008

Keadaan Semakin Panas


Perubahan cuaca secara global semakin terasa di sebahagian besar benua di planet Bumi. Bagaimanapun perubahan cuaca politik di kebanyakan negera di dunia juga turut berubah. Inilah yang dikatakan ‘Wind Of Change’ sedang berlaku. Di Malaysia, cuaca politk semakin panas. Dengan beberapa andaian atau kenyataan yang dikeluarkan oleh ahli-ahli politik (Parti pemerintah & parti pembangkang) membuat keadaan semakin panas dan rakyat masih terpingah-pingah dan semakin banyak pertanyaan dan menunggu jawapan. Jawapan pasti akan muncul dalam sekejap waktu. Para penganalisis politik semakin rancak menulis pandangan dan andaian/ramalan apa yang akan berlaku dengan landskap politik Malaysia.

Dalam situasi sekarang ini, kita perlu memelihara keharmonian masyarkat yang terdiri dari pelbagai kaum bangsa dan fahaman agama. Sesitiviti dalam semua aspek harus dipertimbangkan demi keamanan yang terterusan dan demi mencapai satu bangsa Malaysia yang bersatupadu. Sekiranya berlaku perubahan dalam landskap politik Malaysia, kita kena terima kenyataan, kerana untuk melangkah lebih jauh dan mencapai pembaharuan yang lebih baik, kita kena berani berubah dan menerima perubahan yang sedang dan akan berlaku. Senario politik Malaysia setelah melalui tempoh yang panjang (setengah abad) semakin menjadi perhatian kerana di Malaysia, untuk menukar sesebuah kerajaan, rakyatnya tidak perlu berdemonstrasi dan tidak perlu melakukan kekerasan untuk mencapai impian perjuangan politik. Kuasa di tangan rakyat. Bagaimanapun kuasa yang diperolehi mesti dilaksanakan dengan telus, bertanggungjawab dengan mengamalkan kesamarataan dan bukan berpihak kepada sesuatu kaum sahaja.

Perjuangan politik akan menjadi tempang sekiranya berlaku pihak-pihak yang hanya mementingkan diri sendiri atau kaumnya sendiri dengan menganggap golongan lain tidak penting. Isu yang berlaku di P Pinang dengan merujuk kepada kenyataan Ketua Bahagian UMNO Bukit Bendera memang merupakan isu yang perlu diselasaikan dengan penuh berhema. Selagi ada pihak yang tidak mengaku salah dan tidak mahu merendah diri, maka isu tersebut akan merebak di kawasan-kawasan lain. Kita tidak mahu perpecahan dan pergolakan kaum akan berulang. Di Malaysia politik perkauman tidak akan mendapat tempat. Dalam jangka panjang kita yakin satu bangsa Malaysia akan terbentuk. Tidak ada tempat bagi mereka yang ingin menjadi tuan di Malaysia. Kita tidak perlu dijajah lagi oleh sesiapa bangsa pun. Kita perlu membentuk ideologi politik yang menjurus kepada parti politik pelbagai kaum dan memperjuangkan hak-hak semua kaum di Malaysia.

Luguan Tulu
Rangkaian KadamaianBaru