Monday, March 16, 2009

Pembaptisan Dengan Api

Kopisanangan tobpinai-tobinai semua. Agak lama tidak berinteraksi dengan kalian. Walaupun tidak terlibat dengan kesibukan Washington dalam usaha memulihkan keadaan ekonomi domestik serta dunia pada keseluruhannya, hal-ehwal peribadi sudah cukup kuat untuk mengekang pergerakan sebahagian besar sidang jemaah KadamaianBaru akhir-akhir ini.

Salah seorang ahli sidang KB telah melalui apa yang kita lihat sebagai waktu yang paling getir dan pahit dalam hidupnya baru-baru ini. Demi menghormatinya, kita tidak boleh perincikan masalah yang beliau telah lalui dan sedang lalui ketika ini. Apa yang pasti ialah beliau akan muncul dengan lebih kuat, lebih gagah, lebih bijaksana, lebih hebat dan yang penting lebih hampir kepada Penciptanya lewat permasalahnnya itu.

Kita percaya bahawa ada sebabnya mengapa Tuhan menurunkan pencobaan yang maha dasyhat kepada sesetengah orang. Ada diperkatakan bahawa Tuhan akan lebih menguji orang yang menarik perhatiannya.

Petikan daripada terjemahan The Ministry of Healing’ mukasurat 471:

Jesus Kristus memberikan pencobaan kepada kita kerana DIA melihat sesuatu yang berharga di dalam kita dan DIA berhasrat untuk memajukannya atau mengembangkannya. Demi keagungngan namaNYA, jikalau DIA tidak dapat melihat apa-apa di dalam kita, DIA tidak akan membuang masa memperbaiki, memperkukuh, atau memperkasakan kita. DIA tidak akan meletakkan batu yang tidak berharga kedalam relaunya. DIA hanya menggunakan biji-biji logam yang berharga. Tukang besi meletakkan besi dan keluli kedalam api untuk mengetahui sifatnya. Tuhan membiarkan yang dipilihNYA untuk dimasukkan kedalam relau bencana, kesedihan, dan kesengsaraan untuk mengetahui watak sebenar mereka dan untuk melihat samada mereka boleh dibentuk untuk melaksanakan rencanaNYA.”

Pendek kata, kita perlu melalui "Pembaptisan Dengan Api" sebelum ditauliahkan untuk melaksanakan rencana hidup kita sesuai dengan kehendakNYA.

Setiap ketika menuntut kita untuk berjuang. Kita ada perjuangan hidup kita masing-masing. Apapun dia, tidak ada yang datang sendiri kepada kita tanpa kita berjuang untuk mendapatkannya. Pantas sekali seorang sahabat atau lebih tepat, saudara, yang lahir daripada pahit maung perjuangan hidup di rantauan melantak realiti kehidupan dengan berkata: “Daripada masa kita membuka mata hingga masa untuk menutupnya, memang kita senentiasa berjuang.”

Kepada sahabat-sahabat dan saudara-saudara yang sedang dibelasah hujan ribut, sekali lagi, tabahkan hati dan bersabarlah kerana. Yang MAHAKUASA meletakkan kita semua pada kedudukan sedemikian dengan tujuan untuk menghadiahkan kita pelangi. Sekali lagi kita ingin ingatkan bahawa tidak akan ada seekorpun burung pipit akan jatuh daripada langit tanpa pengetahuanNYA. Percayalah, daripada pandanganNYA, kita lebih berharga daripada burung-burung pipit tersebut. Tidak sama sekali pernah DIA berkata bahawa kehidupan kita akan bebas daripada kesukaran tetapi JANJINYA ialah DIA akan senentiasa bersama dengan kita untuk mengharunginya.

Seperkara lagi ialah seperti yang kita mungkin semua sudah maklum bahawa YB Herbert Timbon Lagadan kini telah mempunyai website serta forumnya di www.kadamaian.com Kita ingin sekali mahu mempercayai bahawa KadamaianBaru adalah faktor yang mendorong kepada kelahiran website tersebut. Apapun sebabnya, jika ianya tidak ada kena-mengena dengan kewujudan KadamaianBaru sekalipun, sememangnya itulah tujuan KadamaianBaru – bagi YB untuk bergiat dalam interaksi cyber bersam rakyat. Sehubungan dengan itu, KadamaianBaru ingin mengucapkan tahniah kepada YB untuk website tersebut terutama sekali bahagian Forum dimana kita boleh bertukar-tukar pendapat, tegur-menegur, dan menegakkan serta mempertahankan idealogi politik masing-masing di alam cyber. Aktiviti yang sedemikian rupa memang wajar pada era ini.

Agak mengecewakan kerana YB mengatakan bahawa Mr.Garot adalah seorang yang kuat mengantamnya tanpa mempertimbangkan dengan sewajarnya sumber perkara yang menyebabkan antaman-antaman tersebut timbul. Perkataan ANTAM bukanlah satu perkataan yang manis untuk digunakan. Ianya boleh disalah ertikan. Bagi para pembaca yang belum melihat isu apa yang telah menimbulkan antaman itu sudah pasti sekali akan berada pada impresi bahawa Garot adalah salah seorang lagi umat manusia yang sengaja memburuk-burukkan YB.

Untuk pengetahuan para pengunjung KadamaianBaru, memandangkan Cbox kita sudah tidak dapat lagi menampung komen-komen kalian semua yang semakin berkembang, maka kita di KadamaianBaru telah membuat keputusan untuk membuka satu ruang forum sebagai langkah menaik-taraf ruang yang kita ada sekarang ini. Ianya sedang dibina oleh krew-krew KadamaianBaru dan akan diistiharkan sebaik saja diaktifkan.

Kounsikahan.